<body><script type="text/javascript"> function setAttributeOnload(object, attribute, val) { if(window.addEventListener) { window.addEventListener('load', function(){ object[attribute] = val; }, false); } else { window.attachEvent('onload', function(){ object[attribute] = val; }); } } </script> <div id="navbar-iframe-container"></div> <script type="text/javascript" src="https://apis.google.com/js/platform.js"></script> <script type="text/javascript"> gapi.load("gapi.iframes:gapi.iframes.style.bubble", function() { if (gapi.iframes && gapi.iframes.getContext) { gapi.iframes.getContext().openChild({ url: 'https://www.blogger.com/navbar/8008527874280205625?origin\x3dhttp://chewani.blogspot.com', where: document.getElementById("navbar-iframe-container"), id: "navbar-iframe" }); } }); </script>
30.8.09 3:44 AM

Rasa ini sudah lama tidak aku alami. Jantung berdegup laju. Nafas bagai terhenti. Alam umpama sepi. Ia rasa yang seingat-ingat aku kali terakhir dilalui sewaktu aku di alam sekolah menengah dulu.


Aku buka sampul buatan sendiri yang bergam sana-sini. Meski buatannya kurang kemas, apa saja yang datang dari sesiapa pun adalah sesuatu yang perlu dihargai. Maka aku sangat menghargainya. Aku buka dengan hati-hati.


Surat berlipat-lipat yang tersisip kemas dalam sampul itu aku baca.




“Ada Rinaido bagi awak surat, cikgu?”, soalan pertama daripada Jali sebaik saja terlihat kelibat aku.

“Ambil cikgu, kita baca sama-sama”, pinta Arleckster.

”Kamu nampak dia datang letak surat tu?”.

“Kami pun tak tahu cikgu, awal dia datang pagi tadi. Dia kata dia masuk ikut bawah pagar longkang pra-sekolah sana. Apa dia tulis, cikgu?”

”Apa yang dia beritahu kamu?”.

”Dia beritahu dia tulis suruh awak jangan pulang”.





Oh Rinaido. Tak pernah aku terbayang akan mendapat surat cinta daripada anak murid. Luahan rasa daripada murid darjah empat!


Lalu aku pun tercari-cari apa yang membuatkan dia jatuh cinta sebenarnya (kalaulah rasa itu boleh dipanggil cinta).


Pernah dia dipukul hingga pengsan oleh ibunya hanya kerana dia enggan ke kedai. Keengganan itu pula berpunca daripada keinginannya untuk ke sekolah bagi menghadiri kelas tambahan. Esoknya dia ke sekolah dengan kesan lebam-lebam di pinggang akibat dipalu dengan kayu. Tanpa silu-silu dia mengangkat baju untuk menunjukkan kesan lebam itu kepada aku.


Kalau waktu hujung minggu, awal-awal pagi dia sudah berdiri di luar pagar rumah aku. Dan aku yang memang penuh sifat humanisme ini akan membuatkan secawan air untuk dia, lalu aku hantar ke seberang pagar beserta sepiring biskut. Tidak cukup dengan itu, aku temankan sarapan pagi dia. Aku di dalam pagar sebelah sini, dia di sebelah pagar sana. Angin yang bertiup dari Bukit Merbau, padang, kebun dan hutan yang menghijau, kicau burung di langit pagi yang permai, minum pagi beralas rumput itu adalah pakej yang sangat membahagiakan. Peduli apa orang-orang kampung yang lalu-lalang dengan pandang-pandang.


Bila dia masih belum mahu pulang, aku akan beri dia buku. Tanpa banyak soal dan kerenah, dia akan membacanya dengan patuh. Kadang aku buka CD-ROM Science di komputer dan sementara aku membereskan kerja-kerja aku, aku biarkan dia dengan eksplorasi Sainsnya.


Menjelang tengahari pun dia selalunya masih tak mahu pulang. Kalau dia pulang sekalipun aku tak pasti adakah lauk yang terhidang untuk menu tengaharinya jadi aku akan ajak dia makan bersama-sama dengan aku. Kerja-kerja dapur bagi anak-anak lelaki Iban adalah biasa. Suruhlah apa saja, dari mencari rebung, memetik pucuk bandung hingga ke menyiang ikan. Mereka tak pernah kekok memegang pisau dan parang. Di dapur, Rinaido adalah pembantu yang meringankan segala lelah. Aku sangat-sangat menyenangi kehadirannya.


Minggu lepas selesai dia menolong rakan-rakan serumah aku mencuci kereta, dia walaupun telah diingatkan berkali-kali, masih mahu duduk-duduk di rumah tempat aku menumpang itu. Bukan dia tidak tahu, malah seluruh isi sekolah tahu rumah guru sudah menjadi kawasan larangan bagi murid-murid waktu hujung minggu. Dia lebih rela dikorbankan di hadapan guru besar daripada mengorbankan masanya di situ.




Ini bunyi surat daripada Rinaido anak Jali;







Dia, baru darjah empat. Darjah empat.


Baru aku teringat, cuti sekolah yang lepas dia baru bersunat.


-che'wani-


-waktu malaya-



-che'wani-

23 Mac 1983
Kuala Lumpur

perempuan
melayu
terakhir

-coret coret-

~Perjalanan Yang Jauh~


Jauh di seberang sana masih tidak kelihatan,
Walaupun telah lama kuredahi denai beronak duri ini,
Usah lagi dikira parut luka dan calar di atas tubuhku,
Tidak sekelumit pun bara cita-citaku kan padam.


Mana dia? Mana dia penghujung perjalanan ini?
Telah kuredah dan tempuh masih belum temui,
Tegukan kejayaan cuma menghilangkan sekelumit dahaga,
Sedangkan haus yang kurasa makin menyala-nyala.


Aku menukar dari satu jalan ke jalan lain,
Namun telah kupastikan dulu ia lurus tidak berliku,
Namun samada di sana atau di sini,
Duri tajam tetap menembusi tubuhku.


Apa kau kira jalanmu kan lebih mudah?
Ditendang digoncang takkan goyah?
Tidak! Nescaya jalanmu kan lebih berliku,
Teruskanlah asal jangan jatuh selalu.


Jauh lagi perjalanan kita,
Entah separuh pun masih belum tiba,
Aku belum tamat dan begitu juga dirimu,
Namun kuharap kita kan tetap bertemu,
Di penghujung rindu..



Muhsin Ramli,
11 Feb 1999.



-cakap cakap-






-catatan-

"Because you a teacher, you must also be a lifelong student."

"Touch your students' heart, and you will win their minds."

"Be kind to your students and they will learn kindness."

"Things never go so well that one should have no fear nor so ill that one should have no hope."