<body><script type="text/javascript"> function setAttributeOnload(object, attribute, val) { if(window.addEventListener) { window.addEventListener('load', function(){ object[attribute] = val; }, false); } else { window.attachEvent('onload', function(){ object[attribute] = val; }); } } </script> <div id="navbar-iframe-container"></div> <script type="text/javascript" src="https://apis.google.com/js/platform.js"></script> <script type="text/javascript"> gapi.load("gapi.iframes:gapi.iframes.style.bubble", function() { if (gapi.iframes && gapi.iframes.getContext) { gapi.iframes.getContext().openChild({ url: 'https://www.blogger.com/navbar.g?targetBlogID\x3d8008527874280205625\x26blogName\x3dcerita+che\x27wani\x26publishMode\x3dPUBLISH_MODE_BLOGSPOT\x26navbarType\x3dBLACK\x26layoutType\x3dCLASSIC\x26searchRoot\x3dhttps://chewani.blogspot.com/search\x26blogLocale\x3den_US\x26v\x3d2\x26homepageUrl\x3dhttp://chewani.blogspot.com/\x26vt\x3d-7959652373651749647', where: document.getElementById("navbar-iframe-container"), id: "navbar-iframe" }); } }); </script>
19.5.09 11:59 PM

6 April. Tahunnya 2009. Kurang lebih tiga bulan sudah aku di SK Merbau.


Langit Serian jarang mahu berhenti menurunkan hujan. Aku menuliskan ini ketika di luar sana bumi basah disimbah.

_______________________________________________________


Untuk hari ini, Isnin selalunya memang hari bahagia. Cuma perhimpunan rasmi pagi ini tidak ada kerana ketiadaan guru besar. Sedikit kecewa sebenarnya aku kerana perhimpunan awal pagi adalah sesuatu yang ditunggu-tunggu. Itulah waktu aku dapat melihat satu-satu wajah anak Merbau, kesemuanya, berdiri tegak dan segak. Juga itulah saat aku akan mendengar lagu SK Merbau yang merdu dinyanyikan oleh wajah-wajah yang selalu aku rindu. Seperti selalu, waktu perhimpunan begitu, aku akan mencari Rano, mencari Kevin, mencari Kenny, mencari Tazarey, mencari Juliana, mencari Vanisa, mencari semua, menyeluruhi kelas tahun empat dan lima terutamanya; dua buah kelas yang paling dekat di hati, paling disayangi.


Rano akan berdiri tegak, kepala sedikit mendongak, dia dalam banyak keadaan sentiasa menjadi yang paling bersemangat, juga yang paling comel dengan rambut perang dan lesung pipit di kedua-dua belah pipi. Sungguh senyumannya sentiasa membuat aku bahagia. Kevin; lebih selalu tersenyum, dengan baju kemas terkancing hingga butang paling atas, lengkap bertali pinggang, adalah si comel kedua yang tidak kalah kepada Rano. Kenny; selalu akan berdiri di akhir barisan dek faktor ketinggian, kemas, rapi, segak, kacak, dan bergaya. Dia kala menyanyikan lagu-lagu rasmi akan kelihatan malu-malu dalam sopan dan santunnya yang juga sentiasa membahagiakan. Tazarey; aku kira dia adalah waris sebenar keturunan Iban. Bertubuh tegap, mata sedikit sepet, hidung pesek, tetapi percayalah dia anak yang sangat manis.


Pagi ini tidak ada perhimpunan. Tapi seolah-olah Tuhan mahu mengubatkan hati aku, ada pelangi muncul di sebelah matahari jatuh. Melihat pelangi samalah seperti melihat anak-anak Merbau yang pelbagai warna dan sering membahagiakan itu.

_______________________________________________________


Hari ini aku mendengar cerita sedih. Simon di hospital. Dibakar. Simon murid tahun tiga. Ada cerita disebalik kejadian tragis ini. Hati aku mula meronta-ronta mahu ke hospital Kuching saat itu juga. Nantilah aku ceritakan tentang ini di hari yang lain.

_______________________________________________________


Waktu rehat sengaja aku ke bilik sains, yang sekarang sudah menjadi tempat makan rasmi kelompok Rano, Kevin, Tazarey, Kenny, Laurence, Rinaido dan Moses. Melihat mereka selalu membuat aku bahagia maka aku sentiasa merasa ingin selalu dekat dengan mereka.


“Cikgu, siapa suami awak yang awak cakap hari tu?“

“Aa? Mana cikgu ada suami.“

“Hari tu kan kami suruh awak pilih antara tiga orang, awak kata awak pilih Kevin.“


[Ohh.. cerita kelmarin waktu pulang dari mandi-manda di sungai yang aku sendiri sudah tak berapa ingat kalau tak diingatkan.]


Kevin jarang bercakap banyak, tapi banyak senyum dan tawanya. Dia hanya senyum-senyum.


“Kevin kan Melayu sesat.“

“Tukar la.. cikgu nak pilih orang lain.“

“Jangan saya cikgu, saya tak mau.“, Tazarey selalu akan bercakap begitu. Mahu tapi selalu berselindung.

“Cikgu pilih Rano la. Kan dia kata nak kahwin dengan cikgu..“

“Dia suka kepada awak cikgu. Ada dia beritahu saya lagi.”, kata Kenny.

_______________________________________________________


Lepas sekolah aku melihat mereka bermain bola. Entah kenapa mereka selalu menghiburkan. Yang ada waktu itu Tazarey, Laurence, Kenny, Kevin, dan Rinaido. Rinaido yang paling becok bercakap itu ini. Dengan mimik muka dan gerak-geri ditambah perangai yang sedikit tidak kenal malu, dia aku rasa berbakat sebagai penghibur semulajadi, cakapnya tak pernah berhenti dan selalu mendatangkan geli hati. Namun aku pernah melihat Rinaido dari sisi yang satu lagi, yang senyap dan muram. Kenny, bukan sahaja penuh gaya di dalam kelas, di padang juga dia adalah jaguh yang sukar ditewaskan; tenang dan terkawal. Tazarey yang manis, Kevin yang comel, Laurence dengan gaya yang tersendiri adalah pelengkap kepada kumpulan ini. Tidak, Rano tidak ada di situ, tanpa dia kumpulan itu masih belum sempurna.

_______________________________________________________


Petang. Aku menyepak-nyepak bola bersama Arleckster, Jeff, Avictor, Kalin, Moses dan beberapa orang lagi, merasa jatuh dan luka dan masih gembira. Inilah dunia kanak-kanak. Orang dewasa selalu takut mahu bermain, bimbang kalau-kalau terjatuh, tidak mahu terluka. Tapi luka di tangan, calar di muka atau lebam di kaki adalah cedera yang boleh dirawat, dengan ubat, dengan masa. Rano baru datang. Duduk-duduk dan kemudian ikut sama bermain.


[Bermain bola sepak adalah mimpi aku yang entah keberapa. Cuma lagi aku selalu tak punya kawan untuk sama-sama bermain. Di sekolah dulu-dulu bola sepak adalah permainan lelaki, perempuan seperti sudah dimaktubkan dalam perlembagaan adalah pemain bola jaring; yang sangat aku benci.]


Panas buat tekak dahaga, bosan buat aku terasa mahu berjalan-jalan lalu aku ajak mereka ke kedai. Kurang lebih dalam sepuluh orang turut mengikut. Kedai bukan jauh, dalam perjalanan itu, sempat Rano dan beberapa orang lagi mangusik aku. Kalau sebelum ini dia sudah berani menarik-narik hujung tudung aku, sekarang dia sudah pandai mencucuk pinggang pula. Jadi aku minta mereka berhenti. Tapi Rano yang nakal itu masih belum mahu berhenti. Kenakalannya aku kira tidaklah melampau dan tidak sampai ke tahap menjengkelkan.


“Jangan kacau cikgu.“, marah John.


Rano pantang dicabar, pantang diganggu. Barannya bukan bara gunung berapi. Barannya bak kolam air panas yang sentiasa menggelegak. Model terbaik orang bujang yang berdarah muda. Pada dia John itu siapa mahu memarahi dia yang sudah nyata lebih rapat dengan aku. Rano menghampiri John dengan reaksi tidak puas hati. Sekelip mata adegan tumbuk-menumbuk berlaku di depan mata aku. Anak kampung kalau bergaduh bukan sebarang.


Rano pandang seluarnya yang merah di bahagian lutut. Sudah! Luka yang masih belum betul sembuh, yang membengkak dan menanah itu berdarah kembali. Rano entah kerana pedih di kaki atau sakit di hati, meluru kepada John, menghambur penumbuk bertubi-tubi tepat ke muka John. Selalu aku melihat Rano sebagai penendang bola handalan, hari ini aku melihat dia juga sebenarnya penumbuk handalan.


“Sudah! John, Rano!“, jeritan aku memang tak mampu menghentikan persengketaan. Amuk makin menjadi. Lalu aku pegang tangan Rano, pegang tangan John, berdiri di antara mereka.


John masih mengamuk. Darah di kaki Rano buat hati aku juga berdarah dan sakit. John tak mahu mengalah. Rano pun begitu. Anak lelaki bukankah pantang menyerah?


John mula menangis. Memang bukan baru kali ini aku melihat dia menangis. Dalam lagak dan bengisnya, John yang sebenar adalah anak manja yang minta dibelai. Aku simpati. John mula meraung-raung. Lebih tidak tentu arah. Lebih agresif. Aku pegang tubuh John yang kurus. Dia terduduk, mengengsot sendiri ke dalam semak cuba menjauhi aku. Tiba-tiba John bingkas berdiri, berlari. Pantas dia mengutip sebatang buluh yang tersadai di tepi jalan.


Aku takut. Sungguh aku takut John akan mengapa-apakan Rano. Sungguh aku takut Rano juga akan membalas dengan lebih hebat. John selalu tidak berfikir panjang dalam tindak-tanduknya. Rano pula bukan calang-calang anak bujang. Perang ini puncanya adalah aku, maka aku juga yang akan menyudahkannya dengan tangan aku sendiri.


Nekad, aku mendekati John. Aku rampas buluh ditangannya, aku buang ke tanah. Aku pegang tubuh John. Dia meraung, meronta-ronta dalam pelukan aku. Niat aku cuma satu, mahu menenangkan John. Tapi dia masih dengan amuknya.


“Rano, pulang ke rumah cikgu.“, keras arahan aku.


Rano tak berganjak. Entah tak mahu mengalah, entah tak mahu meninggalkan aku di situ. Namun tampak marahnya sudah reda. Mungkin dia merasa menang. Mungkin terasa bersalah. Mungkin juga dia mahu jadi saksi segala-galanya.


John masih meronta-ronta, meraung-raung, menyumpah-nyumpah Rano. Aku tak tahu berapa lama lagi aku harus berdiri di situ terus-terusan memegang John. Buntu.


Dari arah kedai, dua orang pemuda yang tadinya duduk-duduk dan menjadi pemerhati semua aksi tadi mula mendekat. Betul-betul dekat. Kurang sehasta daripada aku. Perantara aku dan salah seorang lelaki itu cuma John. Tersengih-sengih. Bertatu di kedua-dua lengan, bersubang telinga. Entah datang sebagai kawan, entah datang sebagai lawan. Dalam diri aku sebenarnya tersimpan sedikit fobia pada para lelaki yang suka menghampiri dengan senyuman. Dia melihat aku, bukan John, dengan pandangan yang cukup merimaskan. Menggerunkan lebih tepat.


Aku lepaskan John. Lalu menjauh. Lelaki itu, entah mahu menunjuk hero atau apa, merentap John dan serta-merta memegang kaki John ke atas, kepala ke bawah. John meraung lagi.


“Sudah.”, antara dengar dan tidak suara aku. Lelaki yang bertubuh sasa, bertatu lengan dan bertindik telinga itu menurunkan John.


Aku cepat-cepat berjalan pulang, tidak lagi menoleh ke belakang. Aku paut bahu Rano, memimpin dia pulang. Aku sudah berlembut dengan John, tapi dia masih berkeras. Biarlah waktu ini aku memujuk hati Rano dulu. Akan aku ubatkan kaki Rano, akan aku isyaratkan pada Rano betapa aku menyayanginya. Sungguh-sungguh sayang.


Rano tidak menangis di ketika dia tidak akan kelihatan bodoh kalau menangis sekalipun. Tidak ada orang yang akan mengatakan dia pengecut. Rano yang selalu riang dan selalu-selalu tersenyum itu, jika dia menangis, seluruh alam akan turut menangis bersamanya. Rano tidak menangis. Dia anak lelaki sejati yang tidak akan menangis dihadapan perempuan untuk perkara-perkara remeh. Kerana itulah aku mengagumi pesonanya.


Sewaktu aku mengubati kaki Rano, sewaktu aku dengan nada terkawal dan lemah lembut seperti selalu menghambur nasihat-nasihat biasa lagak seorang ibu, sewaktu mereka yang ikut sama ke kedai tadi berkeliling melihat aku merawat Rano, sewaktu itulah John menunggu di depan pintu darjahnya dengan penyapu.


“Pecah pala nuan Kunup...!!!“, seranah John dalam marah-marah dan tangis yang belum mahu sudah.


Serasa-rasa keadaan tidak lagi begitu tegang, aku hantar Rano ke kelas. Bimbang mahu meninggalkan dia sendiri, risau John akan mencari peluang membalas dendam. Sungguh aku sayang pada Rano.


Sekali lagi, aku melihat pelangi untuk hari ini. Kali ini di sebelah Timur. Pelangi sentiasa mempunyai pesona luarbiasa. Sejak kecil entah kenapa aku sangat terkesan dengan pelangi. Matahari, hujan dan awan adalah elemen alam yang sangat mengasyikkan. Pelangi adalah karya paling indah hasil percintaan matahari dan hujan.


“Cikgu, masuk kelas kami.. Kalau cikgu tak mahu masuk, cikgu tak sayang kami“, rayu Rano.

“Cikgu sayang tahun lima. Cikgu kata tahun empat boleh buang ke parit“, tambah Tazarey, sekadar gurauan yang selalu membuat hati aku senang.

“Bila masa pulak cikgu cakap macam tu?“.


Hari itu memang bukan giliran aku menyelia kelas petang. Tapi bukankah aku ingin berada dekat dengan mereka selalu? Lalu aku turutkan permintaan mereka. Di tempat seperti ini, merekalah kebahagiaan aku yang paling besar maknanya.


Kenny yang rajin dan selalu mendahului dalam peperiksaan itu awal-awal sudah menyiapkan kerja rumah, melukis-lukis sendiri tanpa banyak karenah. Kevin membaca buku cerita, juga tanpa banyak soal. Rinaido masih becok. Hari ini memang hari Rinaido bermulut murai. Tazarey membuat kerja sekolah, kadang-kadang menyampuk sepatah dua ayat. Rano, di hadapan aku, sengaja aku duduk berhadapan dengan dia, hari ini biarlah aku memberi lebih tumpuan kepada dia. Hadiah kerana hari ini dia telah belajar yang hidup bukanlah selalu indah. Diam-diam aku juga berharap dia akan belajar bahawa mengalah tidak pernah bererti kalah.


Bila aku ke meja Juliana atau Nata, Rano akan menarik tangan aku ke tempatnya semula, minta diajar. Sebagai anak bongsu, dia juga memiliki sifat manja. Cuma kemanjaannya jarang-jarang dipamerkan.


Hujan turun petang itu. Rano minta izin ke tandas. Selang beberapa saat dia pergi, Alicesa murid darjah lima, rakan sekelas John, berlari-lari mencari aku.


“Cikgu, tengok John kacau Rano. Rano mahu pergi ke tandas, dia pukul-pukul payung Rano. Tengok Rano habis basah”, terang Alicesa panjang lebar.


Darah aku terasa menyirap. John melampau!


Aku cari Rano. Dari arah tandas aku nampak dia basah dengan payung yang senget. Payung itu, aku yang pinjam daripada cikgu Mary Grace. John memang melampau!


Tangan aku terasa ringan. Mungkin aku sudah tidak perlu berlembut lagi. Mungkin sekali-sekala John perlu merasa penangan, mungkin John memang layak menerima penampar.


Aku berjalan laju ke kelas John. John serta-merta menutup telinga bila melihat kelibat aku. Dia sudah tidak sudi aku memanggil namanya lagi. Peduli apa.


“John!!“.


Aku datang ke tempat dia duduk. Dia tunduk berpura tekun membuat kerja sekolah. Tak ingin melihat wajah aku lagi.


“John..“.


Aku paut bahu John. Dia tiba-tiba terus menekup muka ke meja. Menangis. Lagi.


Penampar dan marah aku entah hilang ke mana lalu aku usap rambut John yang berceracak.


“John… Cikgu sayang kamu macam cikgu sayang Rano. Kalau cikgu tak sayang kamu cikgu dah lama biarkan kamu pukul orang, nak bunuh orang pun cikgu tak kisah. Tapi cikgu sayang kamu. Cikgu dah belikan kamu macam-macam. Bagi kuih, bagi rekorder, bagi buku. Cikgu tak mintak kamu bayar. Cikgu cuma nak tengok kamu rajin belajar.“


Entah John mendengar atau tidak. Biarlah. Moga di suatu hari nanti, kalau tidak sekarang, John akan mengerti. Aku tahu John memang keras hati. Nasihat jarang berbekas. Aku tinggalkan John dalam sedu-sedan begitu.


Pulang kelas petang, sengaja aku melihat Rano sehingga dia melepasi pintu pagar. Aku masih risau John akan menuntut hutang. Rano pulang dengan motosikal abangnya. Aku rasa lega. Sekurang-kurang aku tahu Rano tak akan apa-apa untuk hari itu.


Dari atas motosikal, Rano melambai-lambai pada aku.


[Rano, kalau kamu mahu tahu, bukan sahaja senyuman kamu membuat aku bahagia, lambaian kamu dari jauh begitu pun sudah cukup membuat hati aku berwarna-warni, seperti pelangi.]


-che'wani-


11:36 PM

Kan aku pernah beritahu aku sudah ada buah hati di sini. Namanya Rano anak Jimpai. Untuk entri-entri yang selepas ini, kau akan selalu bertemu dengan nama itu. Janganlah cemburu, fahamilah aku. Di tempat yang jauh dan tidak ada sesiapa ini, merekalah kebahagiaan yang aku ada.


_______________________________________________________



6 Mac 2009. SK Merbau.


Rano tunduk. Sepanjang kelas yang setengah jam lagi akan tamat, dia hanya tunduk. Rano pandang buku. Entah mencari-cari jawapan, entah mencari-cari apa kesalahannya, entah mencari-cari kembali harga diri yang terhilang ditiup angin padang dan terbuang di celah-celahan daun lalang.

[Apa yang ada dalam hatimu?]

Kelas sunyi sepi. Aku tercium bau resah gelisah di riak wajah anak-anak yang pelbagai rupa itu. Bagai si mangsa yang diintip pemangsa lalu membatu kecut menunggu maut. Setengahnya berkerut-kerut bagai pesalah di kandang tertuduh dan yang berdiri di depan mereka ini adalah penjatuh hukum yang tak mengenal erti belas kasihan.

Sekilas pandangan aku jatuh pada wajah-wajah mereka. Rano di baris paling kanan, paling depan dan paling hujung. Moses, Kevin, Natasha, Kalin, Kenny, Tazarey, Rinaido, Vanisa, Cassandra, Cyprian, Laurence, Experanza, Nata, Suzie, Christie, Juliana, Kesuma, Jennifer, dan Augustine, silih ganti wajah murid tahun empat itu tertancap di retina mata.

“Shoot responds to what, Rano?”, soal aku tanpa nada-nada mesra macam selalu.

[Maafkan aku. Sungguh seluruh tubuh aku menggigil tatkala memandang tajam dengan riak muka yang sengaja dibengis-bengiskan. Tangan yang tergenggam kapur tulis terketar-ketar, bukan kerana menahan amarah, tapi kerana terpaksa menghambur marah.]

“Sunlight.”, ada getar dalam suara yang terlontar perlahan itu.

Bukan, Rano yang selalu bukan macam itu. Kalau menjawab dia akan menjawab lantang-lantang. Rano si nakal yang tak betah duduk diam dan selalu berwajah riang. Senyumnya, senyumnya selalu buat aku bahagia. Dengan lesung pipit di kedua-dua belah pipi, paling ketara di sebelah kiri, kalau dia tersenyum aku terasa-rasa seperti matahari lebih terang, langit lebih biru dan awan lebih lemah gemalai menari-nari di angkasa. Senyumnya bukan senyuman bintang gemilang yang mampu menawan hati setiap orang, senyumnya sederhana, seperti juga dia anak kampung yang serba sederhana. Tapi dalam kesederhanaannya, dia seperti air yang mengalir deras; tangkas namun tenang, senyumnya seperti angin yang menyejukkan, seperti hutan yang sentiasa mempesonakan.


_______________________________________________________



Aku arahkan mereka ke padang. Tunggu aku di pondok hujung padang itu. Tunggu sampai aku datang. Waktu aku tiba, Rano tidak ada di situ, dari arah jalan bertar aku nampak dia berlari-lari datang. Memang Rano tak betah duduk diam.

Waktu aku minta mereka menyentuh daun semalu yang malu-malu itu, Rano hilang lagi berlari-lari keliling padang, ya, dengan senyum riang yang selalu membuat aku bahagia itu.

Aku biarkan. Biarkan Rano berlari-lari dalam dunianya. Dua tiga lagi murid perempuan sibuk mengutip bunga-bunga. Aku jadi geram tiba-tiba. Aku bawa mereka ke padang itu bukan saja-saja, bukan untuk bersuka-suka. Tapi peduli apa. Aku terus memberi penerangan pada muka-muka yang masih setia menunggu dan patuh mengikut perintah aku.

Selesai penerangan, aku suruh mereka pulang ke kelas. Rano, Augustine, Jennifer, Kesuma, Christie dan seorang dua lagi aku minta tunggu di padang itu.

“Kenapa daun pokok semalu tu tertutup bila disentuh?’“, aku benci pi-pi-es-em-ai jadi aku bercakap dalam bahasa ibundaku.

Seolah faham aku bertanya bukan kerana mahukan jawapan kerana memang aku tahu mereka takkan mampu menjawab, semua diam.

“Ada cikgu suruh berlari-lari di padang? Ada cikgu suruh petik-petik bunga?“.

Dalam ramai-ramai itu, wajah Rano yang paling berubah. Sebab selalu wajahnya manis dengan senyuman, ya, senyum yang membuat aku bahagia.

“Rano. Kamu tahu cikgu sayang kamu, tapi kamu main-main macam ni“.

Biar, biar aku bercakap begitu di depan mereka. Biar semua tahu aku memang sayangkan Rano. Biar mereka tahu aku kecewa. Biar Rano tahu aku kecewa.

[Kalau kamu mahu tahu Rano, senyum kamu selalu membuat aku bahagia. Dan bahagia yang kamu beri itu hari ke hari membuahkan kasih dan sayang. Di tempat seperti ini apalah lagi bahagia yang aku ada kalau bukan senyumanmu dan teman-teman, kalau bukan kasih dan sayang yang selalu membuat jiwa terasa lapang.]

Aku arah mereka ke kelas. Kelas sunyi sepi. Rano hanya tunduk. Sepanjang kelas yang setengah jam lagi akan tamat, dia hanya tunduk. Rano pandang buku. Entah mencari-cari jawapan, entah mencari-cari apa kesalahannya, entah mencari-cari kembali harga diri yang terhilang ditiup angin padang dan terbuang di celah-celahan daun lalang.

Sampai tamat kelas, tak ada yang berani bersuara kecuali bila ditanya. Tak ada lagi wajah-wajah ceria yang becok menjawab itu ini bila tak ditanya.

[Aku rasa seperti pembunuh hari itu, yang memenggal mati rasa-rasa ria dalam hati anak-anak suci yang baru belajar mengenal dunia. Maafkan aku.]

Seolah merasa diri pesalah, Rano menghukum diri dengan menutup semua tingkap sebelum pulang. Geraknya masih lincah seperti selalu, tapi, tapi, senyum yang selalu membuat aku bahagia itu sudah hilang untuk hari itu.

Dengan niat memujuk, aku paut bahu Rano, “Lain kali jangan nakal-nakal lagi“. Rano diam. Cepat-cepat dia melerai diri lalu bergerak pulang.

Aku masih berdiri memerhati. Aku nampak Rano kesat matanya dengan belakang kekura tangan. Kali ini aku yang terasa mahu menangis.

[Maafkan aku Rano. Aku terasa bersalah. Bukankah larian itu sudah jadi sebahagian dari hidupmu? Bukankah tanah dan kebun dan hutan dan sungai dan padang itu sudah menjadi litar yang menyaksikan larian hidupmu selama ini? Aku yang datang entah dari mana dan tidak faham apa-apa terus saja menghukum.]

Baru pagi itu dia meminjamkan aku vcd Puspa atas permintaan aku. Dia tidak lupa meski aku bukanlah berharap sangat. Baru kelmarin aku menghadiahkan dia kapal terbang kertas hadiah daripada kekanda yang sangat aku sayang. Kapal terbang itu meski sudah carik di beberapa bahagian; masih membuahkan rasa ria luar biasa dalam jiwa anak seperti Rano. Baru beberapa hari sebelum itu kami sama-sama berkelah di sungai belakang sekolah. Untuk semua peristiwa itu, aku sentiasa melihat senyumannya.


_______________________________________________________



Pulang dari sekolah, seolah-olah hati aku turut luluh bersama butir air mata Rano yang jatuh.

Esoknya Rano seolah-olah menjauhkan diri daripada aku. Jalannya yang selalu bergaya itu tidak lagi diiring senyum-senyum apabila berselisih dengan aku.

[Senyumlah semula Rano. Maafkan aku untuk peristiwa kelmarin. Marah seorang guru pada murid tidak pernah sekali-kali akibat benci, percayalah. Memarahimu tidak sedikit pun membuat aku gembira, malah hatiku sebenarnya turut menangis bersama genangan airmatamu.]


_______________________________________________________



Hari ini, waktu aku datang pagi-pagi. Singgah di kelas tahun empat, Rano dan Tazarey tersenyum-senyum berpandangan sesama sendiri.

“Mereka mahu beri bunga itu kepada awak tapi mereka malu,“ Kata Kenny yang sopan.

Waktu terserempak dengan Rano, sengaja aku memanggil dia dengan nama 'Kunup' – nama gelaran di kampung. Rano pun tergelak manja.

“Betul kamu nak beri cikgu bunga ni?“

“Mahu beri cikgu Mary Grace, tak lah, mahu beri awak“, suaranya yang serak-serak basah itu kedengaran malu-malu.



_______________________________________________________



“Cikgu, jangan pergi ke Kuching“.

Rano bersuara waktu aku mengajarkan Kajian Tempatan di kelas Tahun Empat.

[Oh. Benarkah apa yang aku dengar? Kalau kamu mahu tahu Rano, aku sangat ingin berada di Serian ini. Aku sangat ingin melalui hujung minggu ini di sini. Malah untuk hayat-hayat yang akan datang kalau masih diizinkan Tuhan, aku ingin tetap berpijak di tanah bertuah Serian ini. Di sini langitnya lebih biru. Di sini padang dan hutan dan kebunnya lebih hijau. Di sini airnya lebih dingin. Di sini anginnya lebih nyaman. Di sini bintang-bintangnya lebih terang. Di sini bulannya lebih indah. Di sini mataharinya lebih gilang-gemilang. Di sini anak-anaknya lebih manis, lebih mendamaikan. Di sini, di sini ada kamu. Di sini ada senyuman kamu yang selalu membuat aku bahagia.]

_______________________________________________________


Tiket pulang ke Semenanjung cuti ini belum pun aku tempah, tapi, tapi, aku sudah merindukan Serian.


-che'wani-


-waktu malaya-



-che'wani-

23 Mac 1983
Kuala Lumpur

perempuan
melayu
terakhir

-coret coret-

~Perjalanan Yang Jauh~


Jauh di seberang sana masih tidak kelihatan,
Walaupun telah lama kuredahi denai beronak duri ini,
Usah lagi dikira parut luka dan calar di atas tubuhku,
Tidak sekelumit pun bara cita-citaku kan padam.


Mana dia? Mana dia penghujung perjalanan ini?
Telah kuredah dan tempuh masih belum temui,
Tegukan kejayaan cuma menghilangkan sekelumit dahaga,
Sedangkan haus yang kurasa makin menyala-nyala.


Aku menukar dari satu jalan ke jalan lain,
Namun telah kupastikan dulu ia lurus tidak berliku,
Namun samada di sana atau di sini,
Duri tajam tetap menembusi tubuhku.


Apa kau kira jalanmu kan lebih mudah?
Ditendang digoncang takkan goyah?
Tidak! Nescaya jalanmu kan lebih berliku,
Teruskanlah asal jangan jatuh selalu.


Jauh lagi perjalanan kita,
Entah separuh pun masih belum tiba,
Aku belum tamat dan begitu juga dirimu,
Namun kuharap kita kan tetap bertemu,
Di penghujung rindu..



Muhsin Ramli,
11 Feb 1999.



-cakap cakap-






-catatan-

"Because you a teacher, you must also be a lifelong student."

"Touch your students' heart, and you will win their minds."

"Be kind to your students and they will learn kindness."

"Things never go so well that one should have no fear nor so ill that one should have no hope."