<body><script type="text/javascript"> function setAttributeOnload(object, attribute, val) { if(window.addEventListener) { window.addEventListener('load', function(){ object[attribute] = val; }, false); } else { window.attachEvent('onload', function(){ object[attribute] = val; }); } } </script> <div id="navbar-iframe-container"></div> <script type="text/javascript" src="https://apis.google.com/js/platform.js"></script> <script type="text/javascript"> gapi.load("gapi.iframes:gapi.iframes.style.bubble", function() { if (gapi.iframes && gapi.iframes.getContext) { gapi.iframes.getContext().openChild({ url: 'https://www.blogger.com/navbar.g?targetBlogID\x3d8008527874280205625\x26blogName\x3dcerita+che\x27wani\x26publishMode\x3dPUBLISH_MODE_BLOGSPOT\x26navbarType\x3dBLACK\x26layoutType\x3dCLASSIC\x26searchRoot\x3dhttps://chewani.blogspot.com/search\x26blogLocale\x3den_US\x26v\x3d2\x26homepageUrl\x3dhttp://chewani.blogspot.com/\x26vt\x3d-7959652373651749647', where: document.getElementById("navbar-iframe-container"), id: "navbar-iframe" }); } }); </script>
7.12.09 4:10 AM

Lima hari lagi.


cerita lima bulan,

yang disimpan,

entah sempat nak dituliskan.


juga rindu,

yang tak tertahankan.


-che'wani-


30.8.09 3:44 AM

Rasa ini sudah lama tidak aku alami. Jantung berdegup laju. Nafas bagai terhenti. Alam umpama sepi. Ia rasa yang seingat-ingat aku kali terakhir dilalui sewaktu aku di alam sekolah menengah dulu.


Aku buka sampul buatan sendiri yang bergam sana-sini. Meski buatannya kurang kemas, apa saja yang datang dari sesiapa pun adalah sesuatu yang perlu dihargai. Maka aku sangat menghargainya. Aku buka dengan hati-hati.


Surat berlipat-lipat yang tersisip kemas dalam sampul itu aku baca.




“Ada Rinaido bagi awak surat, cikgu?”, soalan pertama daripada Jali sebaik saja terlihat kelibat aku.

“Ambil cikgu, kita baca sama-sama”, pinta Arleckster.

”Kamu nampak dia datang letak surat tu?”.

“Kami pun tak tahu cikgu, awal dia datang pagi tadi. Dia kata dia masuk ikut bawah pagar longkang pra-sekolah sana. Apa dia tulis, cikgu?”

”Apa yang dia beritahu kamu?”.

”Dia beritahu dia tulis suruh awak jangan pulang”.





Oh Rinaido. Tak pernah aku terbayang akan mendapat surat cinta daripada anak murid. Luahan rasa daripada murid darjah empat!


Lalu aku pun tercari-cari apa yang membuatkan dia jatuh cinta sebenarnya (kalaulah rasa itu boleh dipanggil cinta).


Pernah dia dipukul hingga pengsan oleh ibunya hanya kerana dia enggan ke kedai. Keengganan itu pula berpunca daripada keinginannya untuk ke sekolah bagi menghadiri kelas tambahan. Esoknya dia ke sekolah dengan kesan lebam-lebam di pinggang akibat dipalu dengan kayu. Tanpa silu-silu dia mengangkat baju untuk menunjukkan kesan lebam itu kepada aku.


Kalau waktu hujung minggu, awal-awal pagi dia sudah berdiri di luar pagar rumah aku. Dan aku yang memang penuh sifat humanisme ini akan membuatkan secawan air untuk dia, lalu aku hantar ke seberang pagar beserta sepiring biskut. Tidak cukup dengan itu, aku temankan sarapan pagi dia. Aku di dalam pagar sebelah sini, dia di sebelah pagar sana. Angin yang bertiup dari Bukit Merbau, padang, kebun dan hutan yang menghijau, kicau burung di langit pagi yang permai, minum pagi beralas rumput itu adalah pakej yang sangat membahagiakan. Peduli apa orang-orang kampung yang lalu-lalang dengan pandang-pandang.


Bila dia masih belum mahu pulang, aku akan beri dia buku. Tanpa banyak soal dan kerenah, dia akan membacanya dengan patuh. Kadang aku buka CD-ROM Science di komputer dan sementara aku membereskan kerja-kerja aku, aku biarkan dia dengan eksplorasi Sainsnya.


Menjelang tengahari pun dia selalunya masih tak mahu pulang. Kalau dia pulang sekalipun aku tak pasti adakah lauk yang terhidang untuk menu tengaharinya jadi aku akan ajak dia makan bersama-sama dengan aku. Kerja-kerja dapur bagi anak-anak lelaki Iban adalah biasa. Suruhlah apa saja, dari mencari rebung, memetik pucuk bandung hingga ke menyiang ikan. Mereka tak pernah kekok memegang pisau dan parang. Di dapur, Rinaido adalah pembantu yang meringankan segala lelah. Aku sangat-sangat menyenangi kehadirannya.


Minggu lepas selesai dia menolong rakan-rakan serumah aku mencuci kereta, dia walaupun telah diingatkan berkali-kali, masih mahu duduk-duduk di rumah tempat aku menumpang itu. Bukan dia tidak tahu, malah seluruh isi sekolah tahu rumah guru sudah menjadi kawasan larangan bagi murid-murid waktu hujung minggu. Dia lebih rela dikorbankan di hadapan guru besar daripada mengorbankan masanya di situ.




Ini bunyi surat daripada Rinaido anak Jali;







Dia, baru darjah empat. Darjah empat.


Baru aku teringat, cuti sekolah yang lepas dia baru bersunat.


-che'wani-


26.8.09 8:58 PM

Ini kali ketiga aku pulang. Pertama kali dengan kawan-kawan. Kedua kali sendiri. Kali ini pun sendiri, tapi ada pak cik pengawal sekolah dan isterinya dan anaknya dan juga Rano.


Oh. Cik Wani yang tidak pernah pegang stereng kereta sejak lulus ujian memandu tiga tahun dulu sekarang ini sudah boleh memandu dari Serian ke Kuching. Serian ke Kuching lebih kurang macam dari Kuala Lumpur ke Melaka, itu jarak relatif. Cuma lagi di Semenanjung sana lebuhrayanya cantik-cantik belaka.


Lapangan Terbang Kuching -

Sampai. Parking. Check-in.

Pegawai di tempat pemeriksaan bagasi yang pakai topeng muka menyanyi-nyanyi lagu yang tak popular yang ada bait-bait kata ini - "Manis wajahnya..".

Rano pandang aku. Flora pandang aku. Aku pandang mereka berdua.

Membawa anak murid ke tempat yang jarang-jarang mereka sampai samalah macam lawatan sambil belajar. Dan aku pula cikgu yang di mana-mana pun harus tetap menjadi guru.
Maka jawablah sajalah pertanyaan-pertanyaan seperti, "Kenapa benda tu bergerak?", "Kenapa kena masuk beg dalam benda tu?", "Kemana beg awak pergi?".

Makan di MacD.

"Cikgu, beli anak patung untuk saya..", suara Rano kesayu-sayuan.

Rano yang nakal dan lincah dan penuh aksi dan selalu berlagak hero itu tiba-tiba meminta anak patung. Aku rasa tersentuh.

Aku beli anak patung kecil. Untuk dia dan Flora. Peduli apa tentang harga kalau pemberian seperti itu mampu menggembirakan hati anak-anak seperti mereka. Dan siapa pula yang tahu kalau-kalau hari itu adalah hari istimewa yang selepasnya nanti
aku tidak akan bertemu dengan mereka lagi.

Tinggallah Rano. Tinggallah Flora. Tinggallah Encik Laja dan isterinya. Aku ke balai berlepas melalui kaunter imegresen.

"Cantik beg.."

"Beli di Kuching?"

Itu dialog petugas Kastam.

Beg yang dirujuk itu sebenarnya adalah beg berjenama terkenal tiruan yang aku beli di pasar Serian berwarna putih dan hitam citarasa anak muda masa kini yang kemudiannya pembelian itu aku sesali dan terasa-rasa mahu sahaja aku campakkan ke mana-mana sebab aku beranggapan ia tak bersesuaian dengan personaliti aku.

Terima kasih Tuhan yang mengirimkan malaikat untuk mengingatkan aku supaya tidak membazir dengan cara yang sungguh santun.


Di atas awan -

Aku lebih suka melihat awan dengan kaki berpijak di bumi. Ok, ayat yang lebih mudah difahami - aku kurang gemar menumpang kapal terbang. Terlalu banyak menonton Air Crash Investigation mungkin. Atau perjalanan sendiri tanpa teman begitu buat aku merasa sunyi.

Terima kasih Tuhan yang menjadikan perjalanan sejam empat puluh lima minit itu lebih cepat daripada biasa dan aku tiba dua puluh minit lebih awal.


LCCT -

Dia kekasih yang setia. Menunggu. Menghadiahkan tiga kuntum mawar merah yang semua orang pun tahu apa maksudnya.


Kelana Jaya -

Zahran; bukankah dia tujuan utama aku pulang?

Cepatlah besar.


Seberang Prai -

Hari pertama puasa. Selamat datang Ramadan.


Kelana Jaya -

Ramadan tetap datang dan pergi seperti biasa. Tapi rasa dan perasaannya tak pernah sama. Tahun lepas tanpa mak. Kali ini ada mama.

Dia kekasih yang setia. Platinum bertatahkan sebutir permata seperti itu seakan-akan pernah aku mimpikan entah dalam lena atau sewaktu jaga. Dia telah menunaikan janji. Pun begitu, masa depan masih belum menjanjikan apa-apa.


LCCT -

Ayah beriya-iya mahu ikut. Selalu ayah jarang mahu tinggalkan kelas hari Sabtu di UM itu. Lalu aku pun menjadi malu sebab pulang tidak membawa apa-apa untuk ayah, tidak membuat apa-apa untuk ayah. Aku masih anak perempuan kesayangan ayahkah?


Di atas awan -

Langit cerah. Matahari terang. Awan menari-nari. Aku lebih suka berlari-lari, bernyanyi-nyanyi, dan bermimpi untuk terbang di sebelah bawah sana.


Lapangan Terbang Kuching -

Selalu hati aku melonjak-lonjak girang mahu melihat langit Serian yang birunya gilang-gemilang, melihat hutan dan kebun yang mendamaikan, melihat wajah anak-anak Merbau yang manis-manis dan menghiburkan. Selalu Serian itu tanah yang aku rindu-rindukan dan serasa-rasa tidak sabar mahu pulang.

Kali ini, kali ini hati aku tertinggal di Semenanjung.


-che'wani-


22.8.09 12:17 AM

Selamat pulang, wani.


Kan tanah Semenanjung ini masih kaya dengan segala yang tercinta.


-che'wani-


30.7.09 10:00 PM

Kata kak, dia biru, tidak merah.

Kata kak lagi, sekarang dia kuning.




Tiga hari lepas, dia belum ada nama.

Hari ini, ingin aku ucapkan;

selamat melihat dunia Muhammad Zahran Aziz.

(Tak lama lagi, dengan izin Tuhan, kau pun akan belajar mengenal dunia.)


-che'wani-


-waktu malaya-



-che'wani-

23 Mac 1983
Kuala Lumpur

perempuan
melayu
terakhir

-coret coret-

~Perjalanan Yang Jauh~


Jauh di seberang sana masih tidak kelihatan,
Walaupun telah lama kuredahi denai beronak duri ini,
Usah lagi dikira parut luka dan calar di atas tubuhku,
Tidak sekelumit pun bara cita-citaku kan padam.


Mana dia? Mana dia penghujung perjalanan ini?
Telah kuredah dan tempuh masih belum temui,
Tegukan kejayaan cuma menghilangkan sekelumit dahaga,
Sedangkan haus yang kurasa makin menyala-nyala.


Aku menukar dari satu jalan ke jalan lain,
Namun telah kupastikan dulu ia lurus tidak berliku,
Namun samada di sana atau di sini,
Duri tajam tetap menembusi tubuhku.


Apa kau kira jalanmu kan lebih mudah?
Ditendang digoncang takkan goyah?
Tidak! Nescaya jalanmu kan lebih berliku,
Teruskanlah asal jangan jatuh selalu.


Jauh lagi perjalanan kita,
Entah separuh pun masih belum tiba,
Aku belum tamat dan begitu juga dirimu,
Namun kuharap kita kan tetap bertemu,
Di penghujung rindu..



Muhsin Ramli,
11 Feb 1999.



-cakap cakap-






-catatan-

"Because you a teacher, you must also be a lifelong student."

"Touch your students' heart, and you will win their minds."

"Be kind to your students and they will learn kindness."

"Things never go so well that one should have no fear nor so ill that one should have no hope."